Friday, 20 July 2012

Puasa bagi ibu hamil


Berbicara soal puasa wanita hamil, Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Prof. Madya Dr. Shah Reza Johan Noor mempunyai pendapat tersendiri.
Katanya, tahap kesihatan janin bergantung pada pemakanan dan metabolisme tubuh ibu.
Bicaranya, pakar perbidanan kebiasaannya tidak menggalakkan ibu hamil berpuasa pada bulan pertama hingga ketiga.
“Pada awal kandungan, ibu hamil sering mengalami gejala mual, pening dan muntah yang kerap, sebaik-baiknya elakkan berpuasa.
“Ketika itu bayi amat memerlukan nutrien dan kalori yang mencukupi daripada ibu,” katanya.
Ujarnya lagi, ibu hamil pada bulan keempat hingga keenam dibenarkan berpuasa jika mental mereka baik setelah pakar perbidanan mengesahkan bahawa puasa mereka tidak memudaratkan.
Shah Reza memberitahu, ibu hamil boleh mengalami masalah ketidakhadaman dan senak perut jika terlalu banyak makan makanan berempah, berlemak, bergoreng dan minuman bergas.
“Mereka juga boleh mengalami sembelit jika makan makanan yang diproses selain mudah lesu dan keletihan kerana makanan yang dimakan mempunyai banyak kandungan kanji, karbohidrat dan lemak.
“Selain itu, ibu hamil perlu tidur yang mencukupi untuk menghindari sakit kepala dan masalah kekejangan otot,” katanya.
Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof. Madya Dr. Noor Azmi Mat Adenan pula berpendapat, ibu hamil perlu sentiasa merujuk kepada doktor peribadi mereka.
NOOR AZMI


Makanan janin
“Ini kerana doktor yang merawat mereka lebih mengetahui tentang sejarah kandungan dan kesihatan wanita hamil tersebut.
“Berkemungkinan doktor akan menasihati wanita itu agar tidak berpuasa sekiranya menghidapi penyakit kencing manis terutama dalam kes membabitkan suntikan insulin,” ujarnya.
Katanya lagi, ibu hamil juga perlu minum sekurang-kurangnya dua liter air sehari untuk mengelak tubuh kekurangan air atau dehidrasi.
“Bersahur juga baik untuk ibu mengandung,” katanya.
Sementara itu, Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Hospital Pakar Puteri, Johor Bahru, Johor, Dr. Noor Aini Saari turut senada dengan Noor Azmi dan Shah Reza.
“Tidak perlu memaksa diri berpuasa. Ini membahayakan kandungan kerana janin boleh mengalami kekurangan zat gula, kalori dan nutrisi yang berguna untuk pertumbuhannya,” katanya.
Ujarnya lagi, kehamilan bukanlah sejenis penyakit tetapi keadaan normal yang boleh dialami oleh semua wanita.
Beliau menjelaskan, ibu hamil yang menjalani ibadah puasa tidak perlu bimbang anak dalam kandungan mereka kelaparan.
Katanya, jika janin memerlukan makanan, ia secara automatik akan mengambil gizi daripada tubuh ibunya yang dibekalkan sepenuhnya melalui uri.
Noor Aini bagaimanapun memberitahu, wanita hamil yang mengalami kekurangan nutrien dalam pemakanan akan menyebabkan tumbesaran bayi bermasalah.
“Semua bekalan yang ada dalam tubuh ibu akan diambil sepenuhnya oleh janin yang sedang membesar. Ini akan menyebabkan ibu-ibu ini semakin tidak sihat.
“Jika mereka tidak mengubah tabiat pemakanan, anak yang di dalam kandungan turut terjejas,” katanya sambil menambah, kekurangan makanan berzat walaupun sedikit tetap akan menjejaskan kesihatan wanita hamil serta janinnya.

No comments:

Post a Comment