Wednesday, 10 April 2013

MITOS vs FAKTA

 sumber : KIM
 
 
Dalam riwayat Thabarani dan 'Ibnu dimaklumkan jika seorang wanita melahirkan, lalu ia mengeluarkan susu dari payudaranya dan dihisap oleh bayinya, setiap hisapan dan tegukan dia akan mendapat satu pahala. Jika ia berjaga sepanjang malam (kerana melayan bayinya), dia mendapat pahala seperti pahala orang yang memerdekakan 70 orang budak di jalan Allah.


Kelahiran seorang bayi mencatat pelbagai memori buat wanita yang pertama kali bergelar ibu. Secara lahiriah seorang bayi tanpa perlu diajar bagaimana mahu menyusu (rooting reflex), secara automatik akan menghisap puting payudara ibunya. Sebaiknya bayi terus dirangsang terus menyusu selepas satu jam dilahirkan. Proses ini penting untuk merangsang proses penghasilan susu secara berterusan.


Pelbagai telahan mengenai tekstur susu awal ini mengundang mitos dan tanda tanya. Sejauh mana kebenaran mitos berkaitan susu ibu. Berikut adalah sedikit informasi ringkas bagi meredakan keliru bagi anda yang bergelar ibu.
   
MITOS & FAKTA TENTANG SUSU IBU

Susu berwarna kekuning-kuningan yang sewaktu pertama kali bayi menyusu adalah susu basi!
  • FAKTA : Lazimnya di awal proses penyusuan terdapat cecair berwrna kekuningan (kolostrum) bertindak sebagai antibodi pertama bayi. Kolostrum hanya hadir pada tiga atau empat hari yang pertama hayat seorang bayi dan hanya sekali itu sahaja dalam tempoh enam bulan atau tempoh dua tahun tempoh penyusuannya. Ia tidak akan berulang!. Kolostrum adalah makan pertama yang paling baik untuk bayi. Susu formula tidak dapat meniru kolostrum susu ibu. Kolostrum yang dijual di pasaran adalah ekstrak kolostrum susu lembu tetapi tidak sesuai untuk bayi.

Payu dara ibu menyusu akan lebih cepat mengendur.
  • FAKTA : Secara alami saiz payu dara akan berisi sepanjang sembilan bulan kehamilan. Proses pembesaran itu berlaku ekoran kerana proses mamogenesis - pembentukan kelenjar mamari untuk persediaan menghasilkan susu apabila bayi lahir kelak. Jika ibu tidak menyusukan bayinya selepas bayi lahir; saiz payu dara ibu akan menurun cepat dan drastik manakala saiz payudara ibu yang menyusukan bayinya akan menurun secara perlahan-lahan.

Bayi akan sentiasa melekap pada ibu.
  • FAKTA : Ibu adalah manusia pertama bayi kenal. Manakan tidak sembilan bulan bayi menumpang teduh di dalam rahim ibunya, setelah menjenguk dunia bayi secara eksklusif menyusu dari payudara ibunya lebih dari 10 kali sehari. Impak dari hubungan intim itu mungkin memberi kesan kepada keakraban hubungan di antara ibu dan anak. Usah bimbang kerana tempoh melekap dengan ibu sebenarnya sangatlah singkat,  mungkin sekitar enam bulan sahaja, dua tahun atau mungkin lebih sehingga tida tahun atau lima tahun. Ketahuilah wahai ibu-ibu sekalian, bayi yang menyusu ibu akan membesar menjadi individu yang lebih berdikari, berasa selamat dan dilindungi, lebih berkeyakinan dan kurang menangis. Ini kerana sewaktu proses menyusu bayi berpeluang berinteraksi lebih rapat dan dakapan ibu membuatkan si manja rasa disayangi selalu.

Susu ibu tidak sesedap susu formula.
  • FAKTA : Hakikat sebenar susu formula telah ditambah pelbagai rencah untuk menyedapkannya. Sekalipun apa jua kenyataan yang mereka uar-uarkan mengenai kehebatan setiap produk susu mereka, belum ada mana-mana susu formula boleh menandingi khasiat yang sedia terkandung dalam susu ibu. Gula dalam susu ibu adalah gula ringkas yang lebih mudah dicerna dan diserap oleh usus bayi berbanding gula kompleks yang terkandung di dalam susu formula. Oleh itu bayi mendapat nutrien lebih mudah daripada susu ibu.

Payu dara kecil : susu kurang.
  • FAKTA : Semua ibu secara semula jadi boleh menghasilkan susu yang mencukupi. Saiz payu dara KECIL atau BESAR bukan ukuran susu yang dihasilkan banyak atau kurang. Kelenjar mamari adalah kelenjar yang khusus menghasilkan susu yang terdapat pada wanita, jadi tidak bermakna saiz payu dara boleh membantutkan hasrat anda untuk menyusukan anak anda. 

Apabila anda memilih untuk menyusukan anak anda sepenuhnya, anda harus mengawal dan berwaspada dengan apa yang anda makan.
  •  FAKTA : Semua orang disarankan untuk menjaga kesihatan bukan hanya melibatkan ibu-ibu yang menyusu secara ekslusif. Makan secara sederhana dan mengikut keperluan badan. Bagi ibu yang menyusu yang gemarkan minuman berkafeina (kopi), ibu boleh minum kopi sebaik sahaja selepas menyusu. Rasionalnya ialah kafein dalam kopi telah selesai dicernakan, dicairkan dan dikumuhkan apabila tiba masa penyusuan seterusnya iaitu dua jam kemudian. Oleh itu kepekatan kafein dalam darah sudah menurun. Kaedah ini juga boleh dipraktikkan bagi ibu yang perlu mengambil ubat-ubatan tertentu.

Susu ibu terlalu cair (banyak air).
  • FAKTA : Jika susu ibu yang diperah ke dalam botol diletakkan di atas meja seketika, kita akan dapat melihat susu ibu itu menjadi tiga lapisan iaitu warna keruh di lapisan paling bawah diikuti susu kekuningan di tengah dan susu putih pekat lemak berkrim di lapisan paling atas. Tetapi keadaan adalah sebaliknya bagi susu formula, lapisan cair paling atas manakala lapisan pekat di bawah (lemak berketumpatan tinggi). Bagi susu ibu, 80 peratus kandungan adalah air. Susu ibu terdiri daripada susu awal (foremilk) untuk menghilangkan dahaga dan susu akhir (hindmilk) untuk penyebab kenyang bayi. Naluri semula jadi manusia minum sebab dahaga, maka itulah yang diberi oleh ibu terlebih dahulu kepada bayinya melalui susu awal (foremilk) yang mengandungi lebih air dari laktosa. Kemudian barulah susu akhir yang pekat (kandungan lemak tinggi) yang akan menyebabkan kenyang.

Puting susu ibu perlu dicuci sebelum menyusukan bayi.
  • FAKTA : Puting payu dara bersifat antibakteria. Kajian yang dijalankan untuk melihat reaksi bayi pada sentuhan pertama kulit ke kulit (satu jam pertama selepas kelahiran) menunjukkan kecenderungan bayi untuk memilih puting susu ibu yang tidak dicuci berbanding puting susu ibu yang telah dicuci kerana aroma semulajadi ibu lebih menarik bayi. Bintik-bintik kecil disekeliling payu dara mengandungi bahan pelincir (sebum) yang bersifat antibakteria. Mencuci payu dara memadai dengan mandi biasa dua kali sehari, tidak perlu mencuci dengan sabun, bahan pencuci.

Penyusuan ibu mengambil nutrien daripada ibu. Ibu perlu makan lebih.
  • FAKTA : Nutrien dalam susu ibu bergantung kepada nutrisi ibu. Oleh itu ibu yang menyusu (dan sesiapa sahaja sebenarnya) perlu mengambil nutrisi seimbang untuk mengoptimumkan kesihatannya. Ibu boleh makan apa sahaja tetapi dalam kuantiti yang betul dan sentiasa awas jika terdapat tanda-tanda alahan kepada bayi, maka ibu harus waspada dengan pengambilan makanannya. Risiko osteoperosis di kalangan ibu-ibu menyusu lebih rendah berbanding wanita yang tidak menyusu.

Menyusu boleh mengubah saiz badan ibu.
FAKTA : Ibu yang menyusukan bayi lebih mudah menurunkan berat badan, selain itu uterus juga lebih cepat mengecut berbanding ibu-ibu yang memilih untuk tidak menyusukan bayi secara eksklusif.

No comments:

Post a Comment