Rencana
Pengurusan bencana negara - Majlis Keselamatan Negara
Sejak kebelakangan ini, Majlis Keselamatan Negara (MKN) mendapati
banyak pihak mengambil peluang untuk memberikan pandangan dan tidak
kurang juga kritikan berhubung pelaksanaan operasi pengurusan banjir
terutama di Pahang dan Terengganu. Justeru, MKN terpanggil untuk
memberikan respon terhadap surat terbuka daripada Nur Adilla Abd Rahim
bertajuk Surat terbuka kepada Majlis Keselamatan Negara
bagi menjelaskan keadaan sebenar serta menangkis persepsi negatif
terhadap jentera pengurusan bencana negara yang dicanang pihak tidak
bertanggungjawab yang mempunyai agenda tertentu.
Penulis menyatakan kehairanan beliau terhadap tahap ketidaksiagaan
badan-badan kerajaan tertentu sedangkan Malaysia menghadapi situasi
banjir saban tahun. Luahan beliau, hanya apabila Ahli Parlimen Kuantan
membawa perkara mengenai banjir di Kuantan ke Dewan Rakyat barulah ia
mendapat perhatian pemimpin tertinggi negara. Hal ini memperlihatkan
bahawasanya kedua-dua penulis dan Ahli Parlimen Kuantan tidak mengikuti
perkembangan semasa.
Banjir yang berlaku di Kuantan bermula pada 2 Disember 2013 dan Ahli
Parlimen Kuantan hanya membawa perkara ini ke Dewan Rakyat pada 4
Disember 2013. Pada waktu YB Fuziah Salleh mengutarakan usul berkenaan,
anggota tindak balas sudah pun beroperasi selama dua hari bagi
mengeluarkan mangsa untuk dipindahkan ke pusat pemindahan dan mangsa
yang berjaya diselamatkan adalah seramai 13,460 orang di Kuantan sahaja.
Pemindahan seluruh negara setakat jam 12.00 malam 4 Disember 2013
melibatkan 21, 253 mangsa. Sebenarnya, Puan Nur Adilla dalam tulisan ini
memberi gambaran bahawa YB Fuziah Salleh, Ahli Parlimen Kuantan tidak
turun ke padang sewaktu banjir mula berlaku serta tidak mengikuti
perkembangan banjir di kawasan Parlimen Kuantan yang beliau wakili.
Adalah tidak adil bagi penulis untuk menyimpulkan bahawa operasi
menyelamat, memindah, dan pengagihan keperluan kepada mangsa banjir
hanya dilakukan oleh MKN setelah ditekan dan didesak oleh ahli politik.
Perlu dijelaskan di sini bahawa MKN menguruskan bencana tanpa
dipengaruhi sebarang fahaman politik mahupun individu berkepentingan.
Prioriti utama adalah menyelamatkan nyawa tanpa mengira latar belakang,
kaum, agama, serta fahaman politik seseorang.
Dakwaan penulis dan juga Ahli parlimen Kuantan turut memperlihatkan
ketidakfahaman mereka tentang sistem pengurusan bencana negara yang
setaraf dengan sistem antarabangsa seperti badan-badan di bawah
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations) yang meliputi aktiviti
sebelum, semasa dan selepas berlakunya sesuatu bencana.
Walhalnya, sebelum dicadangkan oleh penulis sekali pun, MKN saban tahun
mengambil langkah melakukan persiapan sebelum berlakunya bencana
banjir. Hasil daripada post-mortem pengurusan banjir bagi musim
tengkujuh lalu digunakan bagi memperbaiki kelemahan yang dikenal pasti
supaya jentera pengurusan banjir akan datang lebih berkesan dalam
memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.
Sejurus negara menghampiri musim tengkujuh atau Monsun Timur Laut
2013/2014, MKN mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana
Pusat (JPBP) pada 24 September 2013 sebagai langkah persediaan awal.
Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) menjangkakan sebanyak 4 hingga 5
episod hujan lebat akan berlaku dalam tempoh sehingga Mac 2014. Episod
hujan lebat yang menyeluruh selama 3 hingga 7 hari akan menyebabkan
risiko berlakunya banjir. Melihatkan keadaan ini, MKN mengarahkan supaya
agensi serta aset pengurusan banjir diletakkan dalam keadaan bersiap
sedia. Untuk makluman, wakil kerajaan Negeri turut dijemput untuk
menghadiri Mesyuarat JPBP bagi berkongsi maklumat mengenai persediaan
jentera pengurusan banjir serta ramalan keadaan cuaca. MKN negeri juga
mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana di negeri
masing-masing bagi menyelaraskan persediaan di peringkat negeri dan
daerah.
Pendek kata, kerajaan melalui pelbagai agensi pengurusan bencana
termasuk MKN melakukan semua persediaan yang perlu bagi memastikan
operasi menyelamat dan perpindahan dilakukan sepantas mungkin bagi
mengelak kejadian tidak diingini serta memastikan bekalan dan keperluan
di pusat pemindahan adalah mencukupi.
Untuk makluman penulis, seramai 56,997 anggota daripada Angkatan
Tentera Malaysia, Polis DiRaja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat
Malaysia, serta Jabatan Pertahanan Awam di seluruh negara diletakkan
dalam keadaan bersiap sedia untuk memberikan bantuan. Selain itu, aset
kerajaan yang boleh dikerahkan untuk operasi banjir di seluruh negara
ditempatkan mengikut zon. Melihat kepada keadaan banjir semasa di pantai
timur, MKN dan agensi-agensi tindak balas berkaitan mengambil tindakan
untuk menggerakkan kekuatan dan aset di negeri-negeri yang tidak dilanda
banjir bagi meningkatkan keupayaan agensi tindak balas dalam operasi
banjir di kawasan yang terjejas banjir.
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selaku agensi yang bertanggungjawab
dalam pengurusan di pusat-pusat pemindahan mewartakan sebanyak 4,696
pusat pemindahan di seluruh negara yang boleh menempatkan seramai 1.3
juta mangsa. 54% daripada pusat pemindahan yang dikenal pasti adalah
Kompleks Penghulu, Dewan Orang Ramai, Pusat Komuniti, dan lain-lain.
Selebihnya adalah sekolah. Selain itu, JKM juga menubuhkan Depot
Simpanan Keperluan Bencana dan Stor Bencana Negeri di beberapa lokasi
strategik di Pengkalan Chepa, Kemaman, Bedong, Sungai Buloh, dan Muar.
Selain itu, terdapat 513 Pangkalan Hadapan bagi menyimpan stok barangan
makanan dan barangan bantuan bencana ke kawasan yang berisiko terputus
hubungan atau terputus bekalan.
Namun, manusia hanya mampu merancang dan Allah yang menentukan
segalanya. Perancangan dan persediaan tidak selalunya berjalan lancar
terutama dalam keadaan dunia yang mengalami perubahan iklim. Penulis
seharusnya sedar cabaran yang dihadapi oleh agensi pengurusan bencana
apabila terpaksa berdepan dengan cuaca ekstrem yang membawa kepada
bencana. Dalam kes di Kuantan, rekod cerapan hujan dari 1 hingga 3
Disember adalah sebanyak 900 mililiter. Cerapan ini adalah tiga kali
ganda daripada jumlah cerapan sepanjang Disember bagi 2012 iaitu 330
mililiter sebulan. Faktor ini, ditambahkan dengan fenomena air pasang
besar menyebabkan air naik dengan mendadak sekali.
Sistem ramalan awal Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) setaraf dengan
negara maju. Namun, apabila melakukan ramalan bagi cuaca tropika seperti
di Malaysia, ia ternyata agak sukar dan ini turut diperakui oleh
pakar-pakar meteorologi dunia. Ramalan berlakunya episod hujan walaupun
dapat dilakukan 7 hari ke hadapan namun ia tidak dapat menentukan lokasi
tepat kejadian hujan, sebaliknya hanya secara umum. Lanjutan daripada
ramalan JMM, amaran awal disebarkan melalui media termasuk media
elektronik dan bantuan polis supaya penduduk di kawasan berisiko
berjaga-jaga. Sejurus air mula naik, agensi penyelamat melakukan operasi
pemindahan.
Mengenai dakwaan tentang bantuan yang lambat tiba serta keadaan yang
teruk di pusat pemindahan, ia harus dicerna dengan minda yang rasional.
Harus difahami bahawa kerja pemindahan memerlukan masa berikutan keadaan
cuaca, jumlah mangsa, serta faktor yang tidak dapat dielakkan. Terdapat
mangsa yang enggan berpindah meskipun dipujuk dan akhirnya terkandas
berikutan air naik terlalu dalam.
Peningkatan mendadak jumlah mangsa banjir melebihi jangkaan awal
menyebabkan keadaan agak tidak tersusun di pusat-pusat pemindahan pada
peringkat awal. Ekoran daripada kenaikan aras air yang tinggi akibat
hujan ekstrem dan air pasang besar, terdapat beberapa pusat pemindahan
turut dibanjiri. Mangsa di pusat pemindahan berkenaan terpaksa
ditempatkan di pusat pemindahan lain yang menyebabkan sedikit kesesakan.
Berikutan situasi ini, JKM juga terpaksa mengambil langkah menyusun
semula pengagihan bekalan makanan dan bahan mentah bagi memastikan
keperluan mencukupi. Selain itu, pihak berkuasa turut mengalami cabaran
daripada segi logistik bagi menghantar bekalan berikutan keadaan cuaca
yang buruk serta jalan raya ditenggelami air. Namun, ini hanya berlaku
pada peringkat awal pembukaan pusat pemindahan sahaja dan keadaan kini
lebih stabil dan bertambah baik serta bekalan keperluan adalah
mencukupi. Bagi kawasan yang terputus hubungan, bantuan dihantar melalui
helikopter.
Melihatkan keadaan semasa banjir yang melanda negara, MKN perhatikan
ramai yang cuba membandingkan Malaysia dengan negara Jepun yang
dikatakan lebih unggul dalam menguruskan bencana. Walaupun ia adalah
suatu perkara yang positif bertujuan penambahbaikan, namun adakah mereka
ini sedar bahawa apabila negara Jepun dilanda bencana, semua pihak di
segenap lapisan masyarakat meletakkan perbezaan fahaman politik dan
ideologi mereka ketepi dan berganding bahu untuk menangani krisis yang
dihadapi.
Kerajaan Jepun seperti lain-lain negara yang dilanda bencana yang
diluar jangkaan atau berskala besar turut mengalami masalah untuk
menguruskannya di peringkat awalan. Menyedari hakikat ini, masyarakat
setempat serta organisasi sukarelawan tempatan memainkan peranan mereka
sebelum ketibaan pihak berkuasa. Mereka ini mempunyai kesedaran tinggi
peranan dan tanggungjawab yang seharusnya mereka mainkan tanpa menuding
jari menyalahkan mana-mana pihak. Ini membolehkan negara mereka untuk
bangkit kembali dengan pantas selepas berlakunya musibah. Masyarakat
Jepun sama ada orang awam atau parti politik tidak memijak di atas
kepala agensi dan anggota penyelamat untuk mendabik dada sendiri.
Dalam keghairahan kita untuk membandingkan situasi dalam negara dengan
negara luar yang dirasakan lebih ke hadapan, seharusnya kesediaan
masyarakat untuk turut sama menggalas perubahan juga harus diambil
kira.Tahap kesedaran rakyat Jepun terhadap pentingnya untuk bersedia
menghadapi bencana adalah amat tinggi. Menyedari bahawa mereka tinggal
di kawasan yang berisiko menghadapi bencana alam, mereka memberikan
kerjasama dalam melaksanakan langkah persediaan termasuk mengambil
insurans bagi melindungi harta benda mereka.
Mengenai bantuan berupa wang berjumlah RM500 yang didakwa penulis
sebagai terlalu sedikit, ingin diperbetulkan di sini bahawa ia bukanlah
sebagai pampasan atau ganti rugi kepada kerugian yang dialami mangsa.
Terma yang sebetulnya bagi pemberian wang kepada mangsa ini adalah
sumbangan Bantuan Wang Ihsan kerana ia hanya bagi meringankan beban
kepada mangsa atas dasar keprihatinan kerajaan bagi membolehkan mereka
ini memulakan kehidupan sejurus selepas berakhirnya banjir.
MKN juga mengambil kesempatan ini untuk menjawab tohmahan kononnya
Bantuan Wang Ihsan terlebih dahulu masuk ke dalam poket segelintir pihak
yang tamak. Sebagai makluman, sumber kewangan bagi peruntukan Bantuan
Wang Ihsan kepada mangsa bencana adalah daripada Kumpulan Wang Amanah
Bantuan Bencana Negara (KWABBN) yang tertakluk kepada tatacara kewangan
kerajaan sedia ada dan proses pengauditan.
Proses penyerahan Bantuan Wang Ihsan juga tidak dilakukan
sewenang-wenangnya, dan memerlukan dokumen pengenalan diri selain hanya
empunya diri iaitu ketua keluarga yang disahkan dibenarkan untuk
mengambilnya. Semua keluarga yang layak akan diberikan Bantuan Wang
Ihsan tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik waima mereka
mengenakan pakaian melambangkan parti yang disokong sekalipun semasa
proses penyerahan. Hasilnya, akaun KWABBN bebas daripada sebarang komen
audit yang negatif berikutan ia diuruskan dengan baik.
Sebagai makluman, negara pernah mengalami situasi banjir yang lebih
buruk dan menyeluruh di seluruh negara melibatkan lebih daripada 230,000
mangsa yang berpindah pada 2010, selain daripada 140,000 mangsa pada
2006 dan 100,000 mangsa pada 2005. Namun, situasi banjir semasa yang
diperlihatkan adalah seolah-olah kerajaan tidak berdaya untuk
menguruskannya, sedangkan mangsa yang terlibat pada ketika ini berjumlah
sekitar 50,000 orang iaitu jauh lebih sedikit. Hakikatnya, realiti di
peringkat lapangan, keadaan ini masih boleh dikawal dan ditangani dengan
baik walaupun terdapat gangguan dan cabaran logistik pada peringkat
awal.
Tujuan MKN mengemukakan respon bukan disebabkan tidak boleh menerima
kritikan tetapi bagi memperbetulkan salah faham serta kesalahan fakta
yang didakwa oleh banyak pihak termasuk penulis sendiri. MKN menghargai
segala pandangan konstruktif yang diutarakan. MKN sentiasa berusaha
untuk memantapkan dan memperbaiki sistem pengurusan bencana dalam
keadaan perubahan iklim dan senario pembangunan negara yang rancak.
Namun, ia juga perlu mengambil kira keupayaan dan kapasiti negara selain
melihat kepada kebolehmampanan kepada sesuatu usaha yang dilakukan.
Semua pihak dipohon untuk tidak melihat dari jauh dan mempolitikkan
pengurusan bencana serta mengambil tindakan menyebarkan maklumat yang
boleh menjejaskan kestabilan dan kelancaran operasi banjir yang boleh
merendahkan moral petugas yang sedang bertungkus-lumus memberi khidmat
terbaik kepada masyarakat. Sebaliknya, semua pihak perlu berganding bahu
bagi membantu jentera pengurusan bencana di peringkat tempatan. Nur
Adilla Abd Rahim adalah seorang yang terpelajar. Justeru MKN yakin puan
faham dengan maksud "Good deeds should be spotlighted and not laserred".
– 10 Disember, 2013.
* Artikel ini disediakan oleh Setiausaha Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.
No comments:
Post a Comment